BAGI memberi kesedaran penyakit kanser payudara yang tidak mengenal usia kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Yayasan Pink Ribbon Deeds (Pride) menganjurkan Kempen Kesedaran Kanser Payudara di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nilai, baru-baru ini.
Kempen anjuran Pride dengan kerjasama Usim serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bukan saja memberi kesedaran, tetapi turut memberi tumpuan dan tunjuk ajar memeriksa payudara sendiri.
Penasihat Yayasan Pride, Nasirah Aris, berkata kanser payudara adalah penyakit berbahaya golongan wanita.
Justeru, katanya rawatan dan pencegahan awal melalui pemeriksaan sendiri adalah penting.
"Kanser payudara tidak mengenal usia tua atau muda. Jadi, pemeriksaan sendiri payudara dan kesedaran terhadap penyakit ini amat penting.
"Kerana itu, kita mengadakan kempen ini khusus untuk pelajar IPT supaya penyakit ini boleh dicegah dari awal.
"Turut diingatkan lelaki juga berisiko mendapat kanser payudara walaupun bilangannya sedikit berbanding wanita," katanya.
Nasirah berkata, kempen itu dirancang Pride bagi tahun 2009/2010. "Selain kempen ini, program lain seperti 'Sale with Pride', 'Climb with Pride' dan banyak lagi aktiviti yang dirancang untuk pesakit kanser payudara," katanya.
Kempen itu dihadiri lebih 500 pelajar daripada pelbagai IPT antaranya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kolej Kejururawatan Murni dan Kolej Komuniti Jelebu.
No comments:
Post a Comment